BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday 1 November 2012

Akhlaq peribadi



إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". 

Sesungguhnya akhlaq dan adab yang baik itulah intipati kehidupan seorang Muslim yang beriman.  Ianya sangat ditekankan dalam keluarga kami.

Arwah Wan (Datuk) dulu seorang Tok Guru Pondok. Kalau tiap kali saya rindukan Arwah Tok (nenek) saya kena menulis surat. Tiada telefon waktu itu. Rumah Tok dan Wan jauh di pedalaman. Seorang budak yang baru pandai menulis tiga suku kata memang tertekan bila hendak menulis alamat rumah Wan - Madrasah Tarbiayatul Akhlak.

Walaupun Madrasah itu tersorok di celah peta, dan Wan pun bukanlah seorang ulama berpendidikan formal daripada Universiti tersohor, tapi Arwah sedar wadah perjuangannya adalah memantapkan akhlak dan adab anak-anak muridnya. Tambahan pula  asal orang melayu itu memang akar umbinya berteraskan adab sopan.

Itu juga jadi acuan Tok dan Wan membesarkan anak-anak mereka. Kesannya Mama sangat prihatin bab adab sopan.

Pesan Mama selalu, biar pun kita tiada pelajaran tinggi tapi akhlaq yang baik tu lah penghias peribadi. Kalaupun jadi orang berpangkat, ilmuan atau  negarawan tiada nilainya jika akhlaq hanya dibuat pengesat kaki. Jangan sekali merasa diri kita lebih hebat daripada orang lain dan urusan kita seorang yang lebih penting. Jangan berpersepsi negatif kepada orang , kita tidak tahu apa yang dilaluinya. Hormat semua orang, tidak kira siapa pun, kerana hakikatnya seorang pengutip sampah mungkin lebih mulia kedudukannya di sisi Allah daripada kita yang mulia di mata manusia.Mungkin dia calon ahli syurga tetapi kita menghinanya.

Pesanan tu diulang ulang semenjak saya tidak faham langsung maksudnya sehinggalah ketika saat Mama menolong saya mengemas beg pakaian ketika hendak masuk Universiti. Hingga sekarang pun , setelah beranak 3, Mama masih tak pernah jemu berpesan begitu. Mungkin sekarang pesanan itu bagi memastikan I'm doing the right thing with my own children.

-sigh- Bolehkah saya memastikannya berterusan untuk keturunan saya yang akan datang? Allahu Allah.