BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday 28 May 2012

Sempurna???

Dia datang dengan berpimpin. Tangan kanannya dipegang seorang wanita. Tangan kirinya memegang tongkat. Di bahu kirinya tersangkut sling bag yang berisi tisu yang dihulurkan tanda terima kasih pada setiap insan yang sudi menderma.

Tiap kali melihat insan-insan seistimewa dia, berlumba-lumba si kecil -si kecil hendak meminta sedikit sumbangan daripada mommynya. Masing-masing hendak jadi umat kesayangan Rasulullah SAW, Alhamdulillah. 

Sekilas mereka berbisik," Kasihan mak cik tu, dia tak nampak."

Oh Anak. Begitukah kita menilai manusia? Adakah penglihatan itu satu kayu ukur kesempurnaan? Hanya kerana kita ini boleh melihat, mendengar, bertutur, berjalan maka kita merasa kasihan pada yang tidak punya?.

Sedikit sekali kita bersyukur.

Hanya kerana kita berkemampuan dengan harta, kita merasakan yang tiada itu menyedihkan?

Bukan begitu sayangku. Seharusnya  kamu mengerti bahawa nikmat melihat itu Masyaallah adalah kurniaan Allah, dan sebaliknya TIDAK BOLEH MELIHAT juga adalah merupakan nikmat Yang Maha Esa.

Dia tidak dapat melihat , bererti tidak dapat melihat yang zahir sahaja. Dia tidak dapat melihat kita, malahan dia juga tidak akan meyebabkan kedua matanya berdosa kerana melihat benda-benda yang tidak sepatutnya dilihat. Dia tidak dapat melihat perkara-perkara mungkar yang mampu mengundang kemurkaan Pemberi mata itu. Tidak seperti kita, yang harus berjuang menjaga mata dan hati, kerana mata boleh menyalurkan input-input tidak sihat kepada hati. 

Di akhir zaman ini hampir mustahil untuk kita tidak terserempak. Aurat contohnya. Bukan sahaja yang punya diri harus bertanggungjawab malahan yang melihatnya juga sama-sama menanggung. Sudah pasti mata yang tidak dapat melihat, terhindar daripada dosa yang sering dilakukan mata.

Si sulung mencelah, " Kalau begitu , orang yang tak dapat mendengar pun terhindar daripada dosa telinga, kan? Dia tak akan dengar percakapan yang sia-sia atau umpatan ataupun fitnah yang membawa dosa yang lebih berat".

Si tengah menyampuk, "Orang yang tak boleh bercakap lagiiiii untung. Lidah dia tak akan buat dosa jugak".

"Ya, begitu juga kalau orang yang tidak berharta. Dia mungkin terhindar daripada dosa riak dan takkabur. Mungkin juga terhindar daripada dosa tidak menunaikan hak orang lain kerana Allah memberi kita harta untuk kita bantu orang lain, bukan untuk bermewah-mewahan".

"Takutlah kalau kaya sangat, nanti jadi macam Qarun" sambung si Sulung 

"Tak apa kalau kita kaya tetapi kita guna kekayaan kita untuk membantu orang lain. Itu tanda kita bersyukur. Kalau miskin pun, tetapi kita asyik salahkan takdir, binasa juga. Yang penting Iman.  Kalau ada yang itu, kaya atau miskin tak kisah.Itulah kelebihan orang beriman, kalau miskin dia sabar, kalau kaya dia bersyukur"

Mereka mengangguk seperti belatuk. Comel. 

Syukur mereka mengerti.