BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 10 August 2011

Untuk apa puasa ku ini?


Anakku,


Semalam kau tanyakan kenapa kita berpuasa selain menahan diri daripada lapar dan dahaga?




Kau tahu hadith dari  muttafaq ‘Alaih di mana Rasululullah bersabda: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.

Apakah FITRAH


Islam adalah agama (yang sesuai dengan) fitrah. Kalau anda ditanya, bagaimana engkau mengetahui Robb-mu. Jangan engkau jawab, “dengan akalku,” tapi jawablah, “dengan fitrahku.” Oleh karena itu, ketika ada seorang atheis yang mendatangi Abu Hanifah dan meminta dalil bahwa Allah adalah Haq (benar), maka beliau menjawab dengan dalil fitrah. “Apakah engkau pernah naik kapal dan ombak mempermainkan kapalmu?” Ia menjawab, “Pernah.” (Abu Hanifah bertanya lagi), “Apakah engkau merasa akan tenggelam?” Jawabnya, “Ya.” “Apakah engkau meyakini ada kekuatan yang akan menyelamatkanmu?” “Ya,” jawabnya. “Itulah fitrah yang telah diciptakan dalam dirimu. Kekuatan ada dalam dirimu itulah kekuatan fitrah Allah. Manusia mengenal Allah dengan fitrahnya. Fitrah ini terkandung dalam dada setiap insan.
Dalam Bahasa Inggeris Fitrah boleh didefinisikan sebagai 'Natural Disposition" yang ada dalam diri setiap insan.

Ia adalah kebaikan kurniaan Allah kepada setiap manusia, siapa pun dia. Allah memercikkan sifat-sifatNya sedikit ke dalam diri kita untuk menghasilkan kebaikan-kebaikan itu, supaya kita mengenal siapa Dia, supaya kita mengerti sifat-sifat mulia Sang Pencipta.

Fitrah itu sifatnya jernih, suci dan luhur. Pure. Kerana itu kita melihat bayi dan kanak-kanak begitu suci dan murni. Bersih.

Fitrah itu amanah Allah , yang perlu kita jaga dan gilap dengan takwa dan iman supaya ia kekal bersih.

Di dalam fitrah terkandung beribu sifat kebaikan anugerah Allah. Cinta,keprihatinan, kejujuran, kemuliaan adalah di antara sifat-sifat murni yang terkandung di dalam fitrah yang Allah tanam dalam sanubari manusia.

Tetapi Allah juga menganugerahkan kita nafsu untuk kita pandu dan kita tundukkan. Ada juga syaitan yang tak pernah leka menjalankan kerjanya mencari teman sebilik di neraka nanti.

Semakin  lama kita meniti usia, fitrah yang pada asalnya begitu murni, suci dan luhur telah semakin kelam sinarnya, makin hitam kerana sifat -sifat mazmumah yang lahir daripada nafsu yang gagal kita pandu dan kawal.

Fitrah kita yang azalinya putih bersih kini hitam kerana prasangka,iri hati, dengki, tamak, zalim, bangga diri dan cinta dunia.

Sudah sebelas bulan , jiwa kita kotor dicemari noda dan dosa. Fitrah telah bungkam dibaluti noda dan dosa itu, tidak terpancar lagi sinarnya. Maka sukma kita kotor dan cela.

Maka Allah kurniakan Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah  sebagai peluang untuk kita mandi dan bersuci. Allah tutup pintu neraka, Allah buka pintu-pintu syurga. Syaitan-syaitan pun diikat , untuk menghadkan gangguan dan dalang yang menghalang manusia daripada beribadat.

Tak cukup dengan itu, Allah kurniakan bonus setiap ibadat dan kebajikan digandakan 700 kali. Dan yang paling tak ternilai, jika kita bertemu Lailatul Qadar, ianya seperti beribadat seribu bulan, Subhanallah. 

Sebagai umat Muhammad , umur kita tidaklah panjang mana. Melebihi 63 tahun adalah masa tambahan untuk kita taubat. kerana kasihnya Allah, Dia tetap mahu kita kembali kepadaNya dengan bersih dan fitrah.

Jika tiada lah Ramadhan, rasanya cukup kah bekalan dan amalan yang akan kita bawak berjumpa Dia nanti? Berbaloikah pahala kita untuk ganjaran syurgaNya? kerana siapa yang sanggup masuk neraka bukan? 

Allah kirimkan kita ke dunia sebagai pengembara untuk mencari bekalan secukupnya sebelum kita pulang ke tanah air kita yang abadi.

Kita ini umpama Bibik Tumirah dan Mas Joko yang merantau jauh dari seberang datang mengembara ke bumi bertuah Malaysia, untuk mencari kecukupan buat bekalan kelangsungan hidup. Sebagai pengembara  yang tahu dan sedar bahawa suatu waktu mereka pasti pulang ke kampung sendiri , wajar kah mereka membina rumah yang besar? Membeli kereta mewah berbuah-buah? Mengumpul harta setinggi bukit di sini? Kerana sebagai pengembara, tidak mungkin mereka membawa pulang semua itu.

Jadi  anakku , itulah erti sebenar Ramadhan. Satu tempoh pendek yang perlu kita gunakan sebaik-baiknya untuk membersihkan kembali fitrah kita yang sudah tercemar.Supaya akhirnya kita beroleh takwa, iaitu matlamat puasa kita.

Ramadhan adalah tempoh kritikal untuk kita menewaskan nafsu dan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu masuk ke tubuh anak adam melalui salur darahnya. Jika kita berpuasa, salur darah itu menjadi sempit. Tentunya ia menyukarkan syaitan.

Sukar anakku menewaskan nafsu dan syaitan. Maka itulah Ramadhan satu perjuangan. Satu mujahaddah melawan keburukkan diri sendiri dan membela kebaikan diri iaitu fitrah.

Jika kau berjaya anakku, maka Aidilfitri itu adalah satu kemenangan padamu. Oleh itu di akhir Ramadhan kejayaan itu kau zahirkan melalui zakat fitrah, tanda fitrahmu telah kau murnikan, telah kau gilapkan sepanjang Ramadhan ini dengan ibadah yang berterusan. Zakat fitrah itu anakku, adalah tukaran nilai (values) yang kau perolehi sepanjang Ramadhan dengan realiti, iaitu makanan ruji atau wang yang boleh kau bahagi-bahagikan sesama saudara seagamamu , tanda kesyukuran kejayaanmu itu.

Takbir dan tahmid itu anakku adalah ikrar kejayaanmu, lalu kau puji yang Maha Kuasa, yang memberimu kesempatan untuk kau nikmati rahmat Ramadhan.

Anakku, semoga sekarang kau lebih mengerti bahawa tujuan kita berpuasa sebenarnya bukanlah untuk BERHARI RAYA.

Bukanlah tujuanmu pakaian yang begermelapan dan berpasang-pasang untuk kau bangga-banggakan.Bukan tujuannya untuk kau berlebih-lebihan membazir dengan ketupat rendang dan kuih muih bertan-tan.

Tetapi sambutan Raya adalah kurniaan Allah untuk hambaNya yang berjaya mencapai TAQWA. 

Kerana sepatutnya anakku , di hari raya itu, kau adalah orang yang baru, dengan fitrah yang telah berjaya kau sucikan dengan takwa.

Kerana anakku, fitrah itu kelak harus kau bawa pulang kepada Allah dengan keadaan yang sama seperti asalnya. 

Suci. Putih. Luhur. Bersih. Murni

Allah hu Allah............