Thursday, 1 November 2012
Akhlaq peribadi
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".
Sesungguhnya akhlaq dan adab yang baik itulah intipati kehidupan seorang Muslim yang beriman. Ianya sangat ditekankan dalam keluarga kami.
Arwah Wan (Datuk) dulu seorang Tok Guru Pondok. Kalau tiap kali saya rindukan Arwah Tok (nenek) saya kena menulis surat. Tiada telefon waktu itu. Rumah Tok dan Wan jauh di pedalaman. Seorang budak yang baru pandai menulis tiga suku kata memang tertekan bila hendak menulis alamat rumah Wan - Madrasah Tarbiayatul Akhlak.
Walaupun Madrasah itu tersorok di celah peta, dan Wan pun bukanlah seorang ulama berpendidikan formal daripada Universiti tersohor, tapi Arwah sedar wadah perjuangannya adalah memantapkan akhlak dan adab anak-anak muridnya. Tambahan pula asal orang melayu itu memang akar umbinya berteraskan adab sopan.
Itu juga jadi acuan Tok dan Wan membesarkan anak-anak mereka. Kesannya Mama sangat prihatin bab adab sopan.
Pesan Mama selalu, biar pun kita tiada pelajaran tinggi tapi akhlaq yang baik tu lah penghias peribadi. Kalaupun jadi orang berpangkat, ilmuan atau negarawan tiada nilainya jika akhlaq hanya dibuat pengesat kaki. Jangan sekali merasa diri kita lebih hebat daripada orang lain dan urusan kita seorang yang lebih penting. Jangan berpersepsi negatif kepada orang , kita tidak tahu apa yang dilaluinya. Hormat semua orang, tidak kira siapa pun, kerana hakikatnya seorang pengutip sampah mungkin lebih mulia kedudukannya di sisi Allah daripada kita yang mulia di mata manusia.Mungkin dia calon ahli syurga tetapi kita menghinanya.
Pesanan tu diulang ulang semenjak saya tidak faham langsung maksudnya sehinggalah ketika saat Mama menolong saya mengemas beg pakaian ketika hendak masuk Universiti. Hingga sekarang pun , setelah beranak 3, Mama masih tak pernah jemu berpesan begitu. Mungkin sekarang pesanan itu bagi memastikan I'm doing the right thing with my own children.
-sigh- Bolehkah saya memastikannya berterusan untuk keturunan saya yang akan datang? Allahu Allah.
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 01:22 Links to this post
Monday, 28 May 2012
Sempurna???
Dia datang dengan berpimpin. Tangan kanannya dipegang seorang wanita. Tangan kirinya memegang tongkat. Di bahu kirinya tersangkut sling bag yang berisi tisu yang dihulurkan tanda terima kasih pada setiap insan yang sudi menderma.
Tiap kali melihat insan-insan seistimewa dia, berlumba-lumba si kecil -si kecil hendak meminta sedikit sumbangan daripada mommynya. Masing-masing hendak jadi umat kesayangan Rasulullah SAW, Alhamdulillah.
Sekilas mereka berbisik," Kasihan mak cik tu, dia tak nampak."
Oh Anak. Begitukah kita menilai manusia? Adakah penglihatan itu satu kayu ukur kesempurnaan? Hanya kerana kita ini boleh melihat, mendengar, bertutur, berjalan maka kita merasa kasihan pada yang tidak punya?.
Sedikit sekali kita bersyukur.
Hanya kerana kita berkemampuan dengan harta, kita merasakan yang tiada itu menyedihkan?
Bukan begitu sayangku. Seharusnya kamu mengerti bahawa nikmat melihat itu Masyaallah adalah kurniaan Allah, dan sebaliknya TIDAK BOLEH MELIHAT juga adalah merupakan nikmat Yang Maha Esa.
Dia tidak dapat melihat , bererti tidak dapat melihat yang zahir sahaja. Dia tidak dapat melihat kita, malahan dia juga tidak akan meyebabkan kedua matanya berdosa kerana melihat benda-benda yang tidak sepatutnya dilihat. Dia tidak dapat melihat perkara-perkara mungkar yang mampu mengundang kemurkaan Pemberi mata itu. Tidak seperti kita, yang harus berjuang menjaga mata dan hati, kerana mata boleh menyalurkan input-input tidak sihat kepada hati.
Di akhir zaman ini hampir mustahil untuk kita tidak terserempak. Aurat contohnya. Bukan sahaja yang punya diri harus bertanggungjawab malahan yang melihatnya juga sama-sama menanggung. Sudah pasti mata yang tidak dapat melihat, terhindar daripada dosa yang sering dilakukan mata.
Si sulung mencelah, " Kalau begitu , orang yang tak dapat mendengar pun terhindar daripada dosa telinga, kan? Dia tak akan dengar percakapan yang sia-sia atau umpatan ataupun fitnah yang membawa dosa yang lebih berat".
Si tengah menyampuk, "Orang yang tak boleh bercakap lagiiiii untung. Lidah dia tak akan buat dosa jugak".
"Ya, begitu juga kalau orang yang tidak berharta. Dia mungkin terhindar daripada dosa riak dan takkabur. Mungkin juga terhindar daripada dosa tidak menunaikan hak orang lain kerana Allah memberi kita harta untuk kita bantu orang lain, bukan untuk bermewah-mewahan".
"Takutlah kalau kaya sangat, nanti jadi macam Qarun" sambung si Sulung
"Tak apa kalau kita kaya tetapi kita guna kekayaan kita untuk membantu orang lain. Itu tanda kita bersyukur. Kalau miskin pun, tetapi kita asyik salahkan takdir, binasa juga. Yang penting Iman. Kalau ada yang itu, kaya atau miskin tak kisah.Itulah kelebihan orang beriman, kalau miskin dia sabar, kalau kaya dia bersyukur"
Mereka mengangguk seperti belatuk. Comel.
Syukur mereka mengerti.
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 21:58 Links to this post
Friday, 17 February 2012
POTENSI DIRI
Keluarga besar saya berkumpul Disember lalu di suasana penuh damai dan dingin, Cameron Highlands, Alhamdulillah, berkumpulnya kami dalam qadar dan izin Allah
Apa yang 'magical' di Cameron Highland adalah Floranya. Fauna, eh saya hanya dapat membayangkan sesuatu yang licin, slimy dan berekor panjang, jadi usah potong mode indah ini.
Kadang-kadang species tumbuhan yang ada di sana hanyalah tumbuhan biasa yang boleh juga kita tanam di belakang rumah, tetapi rupa dan paras sedikit berbeza.
Ini hanyalah pokok renek yang dipanggil pokok puding di Utara Tanah air. Tapi jarang pokok puding yang berbunga jika ditanam di persekitaran kita. Luar biasanya Cameron Highland pokok pudingnya mengeluarkan bunga yang indah memikat.
Senduduk di Cameron lebih besar bunganya, daunnya juga.
Bunga Raya , tentunya lebih subur dan mekar dengan saiz yang juga luar biasa
Dan tentu saja kekwa lebih indah dan subur di sini.
Coral dan Flower Lettuce , ohhh ohhhh
Tumbuhan juga boleh mengeluarkan potensi diri menjadi lebih baik dengan suasana yang yang dingin dan tenang. Begitukan kesimpulannya?
Pokok Puding yang secara normal jarang berbunga di tanah rendah boleh menongkah arus kebiasaanya dan menzahirkan potensi dirinya yang terbaik, lalulah keluarlah kuntuman indah daripada pucuknya.
Begitu juga senduduk, kekwa, mawar dan seribu mungkin species tumbuhan lain di sana.
Bukankah Allah menyeru kita melihat keadaan sekeliling kita dan di sebalik setiap kejadiaan ada tanda-tanda kebesaranNya.
Di persekitaran yang lebih indah, tenang, dingin damai, manusia ,jasad dan jiwa, rohani dan jasmani mampu mengeluarkan potensi diri menjadi yang lebih baik dan yang terbaik.
Persekitaran yang baik itu tiada sempadan geografi kawan, ianya boleh dicipta. Di minda.
'Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia'- Ar Raad : 28
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 09:28 Links to this post
Monday, 19 December 2011
Malu
Ada yang mencadangkan si kecil didaftarkan ke Drama Class supaya dia menjadi lebih vokal atau mungkin si kecil boleh juga meyertai kelab Public Speaking .
Malu.
Burukkah sifat malu itu ? Tergantung daripada kaca mata siapa kita menilainya. Jika dari sudut pandang manusia dan dunia, ya tentulah kurang elok sekiranya anak-anak terlalu pemalu sehingga mungkin katanya boleh merendahkan jati dirinya.
Sekiranya dilihat dari teropong agama, Malu itu malahan sebahagian Iman.Rasululullah S.A.W sendiri seperti dalam riwayat Bukhari, lebih malu daripada gadis pingitan. Malu lah yang mampu menjadi perisai agar iman tidak goyah dan runtuh.
Malulah wadah yang mampu mengurus nafsu agar tidak membuak dan terjerumus ke kancah maksiat.
Biarlah si kecil itu malu kerana malu itu sopan. Sifat fitrah yang dikurniakan Allah kepada insan, lebih lagi yang bernama perempuan. Cuma , didiklah dia menjurus sifat mulianya itu agar berteras pada yang Satu dan ajaran Sang Kekasih.
Takut jika malu yang sirna mejadikan anak gadis kita tidak segan-segan mendedahkan auratnya. Tidak kekok bergaul dengan yang bukan mahramnya. Tidak terkesan melakukan dosa dan maksiat bila tiba puncak kegadisannya.
Itu lebih sepatutnya menjadi kerisauan.
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 23:45 Links to this post
Thursday, 13 October 2011
Aku Perempuan Curang
Betapa aku mencintaimu
Hingga melupakan diriNya
Betapa aku asyik diulit oleh janji-janji palsumu
Walau telah ku tahu kau tidak mampu menjaga
Betapa aku terpesona dengan keindahanmu
Meski aku sedar kau akan sirna
Dunia..........
Tolong jangan kau dustai aku lagi
Aku perempuan bernoda
Aku perempuan pendosa
Aku curang kepadaMu
Aku menduakan diriMu Kekasihku,
Aku tidak setia
Kerana dalam hati ku masih ada pelbagai cinta,
Kerana di hatiku masih bersisa DUNIA
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 00:55 Links to this post
Thursday, 6 October 2011
Mencintaimu.....
Mencintaimu, seluruh hidupku.
Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku. Nescaya Allah
mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Surah Al Imraan :31
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 23:14 Links to this post
Wednesday, 14 September 2011
Understand to be understood!
Hidup tidak semuanya manis. Adakalanya pahit,masam , kelat.
Tapi bahagia harus dicari dan digilap. Bukan menunggu datangnya seperti durian gugur.
Seperti sebiji limau yang masam. Jika dipandang hidup seperti limau yang masam, maka masamlah selamanya.
Jika limau diperah airnya, dicampur gula , ia akan jadi lemonade yang sedap.
Begitu pun hidup.
Terimalah orang lain seadanya kerana tidak adil kita menghakimi kerana kita tidak mungkin akan memahami bagaimana corak hidupnya.
Sekiranya waktu yang paling membahagiakan bagi seorang hamba adalah ketika dia paling dekat dengan penciptanya, ketika dia sedang sujud mengabdikan diri dah berkata, inilah aku Ya Rahman , hambaMu yang datang menyerah seluruh ketentuan hidupku pada bimbinganMu.
Ketika itu tanpa sedar kita sujud di lantai tempat kaki kita berpijak, tempat kaki-kaki orang lain juga berpijak. Kotor sepatutnya. Tetapi kita letakkan jua kepala kita yang terasa mulia di situ.
Di tempat yang sepatutnya kotor dengan bekas tapak-tapak kaki. Kotor pada hakikat walau tampak bersih di mata kasar.
Tapi kerana kita HAMBA, maka selayaknya kita begitu bila menunjukkan keabdian kita pada Sang Pencipta.
Tunduk dan sujud dalam malu dan takut, dalam getar dan insaf.
Ketika itu , bukankah ponggong kita yang hina lebih tinggi daripada kepala kita yang mulia itu?
Bukankah tangan yang lebih mulia daripada kaki separas kedudukannya?
Adakah lagi yang kita muliakan?
Justeru, tidak bolehkah kita menerima segala kekurangan orang lain yang juga hambaNya?
Just try to understand to be understood.
Posted by Aisya Khadeeja Irham at 08:45 Links to this post
Subscribe to:
Posts (Atom)



